Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

27 Disember 2024

Memajukan Rantaian Nilai Semikonduktor dan Pengeluaran Maju: Khazanah, melalui Dana Impak, Meneruskan Pelaburan Strategik untuk Mempertingkatkan Ekosistem Semikonduktor Malaysia

Memajukan Rantaian Nilai Semikonduktor dan Pengeluaran Maju: Khazanah, melalui Dana Impak, Meneruskan Pelaburan Strategik untuk Mempertingkatkan Ekosistem Semikonduktor Malaysia

Pelaburan Cambrian Fund akan menyokong usahawan tempatan dan PKS dalam teknologi IR4.0, manakala pelaburan dalam Syntiant akan meningkatkan R&D dalam teknologi AI, semikonduktor dan mikrofon.

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), melalui peruntukan awal RM1 bilion menerusi Dana Impak, hari ini mengumumkan dua pelaburan strategik untuk memacu pertumbuhan dan inovasi yang lebih besar dalam teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 (“IR4.0”) dan pembangunan kapasiti di Malaysia; serta meningkatkan Penyelidikan & Pembangunan (“R&D”) dalam teknologi Kecerdasan Buatan (“AI”) dan semikonduktor.

Cambrian Fund

Khazanah hari ini mengumumkan pelaburan dalam Cambrian Fund, melambangkan kerjasama dengan pengasas bersama Vitrox Corporation Berhad, juara Malaysia dalam peralatan dan penyelesaian pemeriksaan penglihatan automatik, serta Southern Capital Group, sebuah firma ekuiti swasta serantau yang terkemuka dengan tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Cambrian Fund ditubuhkan untuk menyokong usahawan dan PKS yang bertumpu kepada teknologi IR4.0 seperti penglihatan mesin, kecerdasan buatan dan robotik. Dana ini akan memainkan peranan dalam mentransformasikan ekosistem semikonduktor dan pengeluaran maju dalam dan luar Malaysia dengan membuka peluang pertumbuhan, menggalakkan penyertaan tempatan yang lebih besar dan menyokong usahawan dan PKS yang inovatif untuk berkembang dan bersaing di peringkat serantau. Seiring dengan itu, matlamat dana ini adalah memanfaatkan pengalaman para pemimpin industri Malaysia melalui jalinan kerjasama untuk mendapatkan kepakaran, bimbingan dan akses kepada rangkaian untuk menyokong pelaburan Cambrian Fund.

Cambrian Fund telah mencatat penutupan pertama sebanyak RM 100 juta dengan Khazanah sebagai salah satu pelabur utama.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia merupakan penggerak utama ekonomi negara, menyumbang 40% kepada eksport negara pada tahun 2023. Dengan semikonduktor sebagai terasnya, Malaysia kini adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia, menguasai 13% daripada bahagian pasaran global untuk pembungkusan, pemasangan, dan ujian. Melalui pelaburan Dana Impak daripada Khazanah, Cambrian Fund selaras dengan usaha kerajaan dalam memupuk pertumbuhan yang lebih besar, inovasi, pembangunan bakat tempatan, dan integrasi ke dalam rantaian bekalan global, sambil memperkukuhkan hubungan pasaran antarabangsa dan mencipta peluang untuk syarikat Malaysia berkembang secara global.”

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ViTrox Dato’ Chu Jenn Weng berkata, “Kami amat menghargai sokongan tidak berbelah bahagi daripada Khazanah melalui inisiatif Dana Impak, yang membolehkan kami memupuk gelombang baru usahawan dan PKS tempatan yang memacu inovasi Revolusi Perindustrian 4.0—merangkumi penglihatan mesin, kecerdasan buatan dan robotik, serta menyokong kemajuan dalam industri semikonduktor dan seterusnya. Dengan memupuk kerjasama yang erat antara pemimpin industri, pelabur teroka dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, saya yakin kita dapat membina ekosistem teknologi tempatan yang berdaya tahan dan berkembang maju. Bersama-sama, kita akan mengangkat kedudukan global Malaysia dalam teknologi maju dan melahirkan juara bertaraf dunia dalam sektor teknologi.”

Pengarah Urusan Southern Capital, Kenneth Tan berkata, “Southern Capital berbesar hati untuk bekerjasama dengan pengasas bersama ViTrox bagi membantu mendanai generasi baharu pemimpin teknologi di Malaysia dan seterusnya. Kehadiran Khazanah sebagai sebahagian daripada penutupan pertama kami mengesahkan strategi Cambrian Fund yang memanfaatkan pengetahuan mendalam tentang industri dan rangkaian untuk mengenal pasti, melabur dan mempercepat perkembangan syarikat-syarikat berpotensi tinggi dalam beberapa sektor paling menarik dalam ekonomi global.”

Pelaburan dalam Syntiant Corp (“Syntiant”)

Untuk memperkukuhkan lagi ekosistem semikonduktor Malaysia, Khazanah mengumumkan pelaburan dalam Syntiant Corp. (“Syntiant”), sebuah syarikat ‘edge AI’ tepi yang berpusat di Irvine, California dan diiktiraf secara global sebagai peneraju dalam menyediakan penyelesaian perkakasan dan perisian inovatif untuk penerapan ‘edge AI’. Silikon dan model pembelajaran mesin yang dibina khusus oleh Syntiant digunakan secara global merentasi pelbagai aplikasi pengguna dan industri, dari fon telinga hingga kenderaan.

Komitmen Syntiant untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) AI bertaraf dunia di Malaysia adalah manfaat strategik utama pelaburan Khazanah. Pusat ini akan memacu inovasi dan pembangunan teknologi, memberikan sumbangan kepada hasrat Malaysia untuk meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai semikonduktor serta mengambil bahagian dalam industri AI global yang sedang berkembang.

“Ini menggariskan komitmen kami untuk membangunkan ekosistem semikonduktor yang maju di Malaysia. Dengan menyokong pengembangan Syntiant di Malaysia, kami meningkatkan keupayaan teknologi negara sambil mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia. Usaha ini selaras dengan keutamaan strategik kami untuk memacu kemajuan ekonomi dan teknologi dalam negara,” tambah Amirul Feisal.

“Kami amat berterima kasih kepada Khazanah Nasional dan rakan kewangan kami yang lain, yang telah membolehkan kami melaksanakan strategi pertumbuhan kami, sambil mencipta nilai yang tiada tandingan untuk pelanggan global,” menurut Kurt Busch, Ketua Pegawai Eksekutif Syntiant. “Dengan menubuhkan pusat R&D AI bertaraf dunia di Malaysia, kami bukan sahaja mengembangkan jejak kami tetapi juga melabur dalam ekosistem teknologi yang dinamik di Malaysia. Pelaburan ini menandakan saat penting bagi Syntiant ketika kami mengintegrasikan teknologi mikrofon MEMS ke dalam penyelesaian berasaskan AI kami untuk membawa antaramuka (interface) pintar generasi berikutnya.”

Melalui kerjasama dengan Khazanah dan beberapa pelabur teknologi terkemuka, Syntiant akan menggunakan hasil pengumpulan dana untuk memperoleh 100% divisyen mikrofon MEMS pengguna (“CMM”) daripada Knowles Corporation (“Knowles”), yang mempunyai operasi pemasangan dan pengujian yang besar di Malaysia. Divisyen CMM Knowles merupakan pengeluar utama mikrofon sistem mikro-elektromekanikal (MEMS) SiSonic™ yang berprestasi tinggi, yang penting untuk suara dan audio dalam telefon pintar, pembesar suara pintar, peranti boleh pakai, serta aplikasi lain dalam industri automotif dan peralatan rumah. Pengambilan ini membolehkan Syntiant menawarkan penyelesaian lengkap kepada pelanggan global untuk aplikasi audio dan suara yang sentiasa aktif. Pada tahun 2023, divisyen CMM membuka peluang pekerjaan kepada lebih 700 pekerja di Malaysia, yang bakal menikmati manfaat daripada penciptaan nilai pelaburan ini.

Inisiatif Khazanah dalam sektor semikonduktor dan pengeluaran maju melalui Dana Impak selaras dengan dasar ekonomi negara seperti Program GEAR-uP, rangka kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang menyokong Strategi Semikonduktor Nasional untuk mengukuhkan ekosistem tempatan dan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global. Ia juga selaras dengan strategi Memajukan Malaysia yang berasaskan rangka kerja ‘A Nation That Creates’*, yang bermatlamat untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

*Rangka kerja ‘A Nation That Creates’ Khazanah bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara dengan memberi tumpuan kepada transformasi syarikat untuk membuka kunci nilai, menyokong usaha peralihan tenaga dan digitalisasi, membangun kapasiti serta meningkatkan kemahiran. Ia juga bertujuan untuk mempertingkatkan kesalinghubungan Malaysia melalui portfolio penerbangan. Selain itu, Khazanah komited untuk memastikan daya tahan ekosistem semikonduktor, memupuk pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan (mid-tier company), dan melabur dalam modal teroka, menyokong aspirasi program GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan, dalam menyelaraskan usaha di kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan mendorong pertumbuhan dalam sektor-sektor ekonomi utama.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
27 Disember 2024

Memajukan Rantaian Nilai Semikonduktor dan Pengelu...

Selanjutnya  

1 November 2024

Khazanah Nasional perjelas penjualan saham Fashion...

Selanjutnya  

28 Oktober 2024

Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah ...

Selanjutnya  

19 Oktober 2024

Kenyataan oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir...

Selanjutnya  

17 Oktober 2024

SC dan Khazanah Jalin MoU untuk Memangkin Akses MT...

Selanjutnya  

15 Oktober 2024

Khazanah Nasional, melalui Dana Impak, bakal lanca...

Selanjutnya  

30 Julai 2024

Khazanah Nasional selesaikan pengambilalihan MAVCA...

Selanjutnya  

15 Mei 2024

Konsortium diterajui Khazanah dan KWSP umum tawara...

Selanjutnya  

11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya  

9 Mac 2024

Khazanah lancar inisiatif #BerbudiBersama untuk me...

Selanjutnya