Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

10 Januari 2025

Strategi Khazanah Untuk Memajukan Malaysia: Membangunkan belia Malaysia untuk memacu inovasi IR4.0 dan pembangunan ekonomi digital

Khazanah Nasional (“Khazanah”) berpegang teguh pada keyakinan bahawa, selari dengan pelaburan strategik, pembangunan modal insan adalah penting untuk pertumbuhan dan kemajuan negara. Tenaga kerja yang mahir meningkatkan produktiviti, merangsang inovasi dan meningkatkan daya saing Malaysia di pentas global. Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Khazanah berbangga dengan inisiatif K-Youth dan 42MY melalui Dana Impak, di mana kami melabur dalam latihan dan perkembangan golongan muda untuk menyesuaikan diri dengan kemahiran IR4.0 serta meningkatkan kebolehpasaran mereka. Bakat-bakat uda ini hadir dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi dan kami berbesar hati untuk memberikan peluang ini bagi memperlengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan, membolehkan mereka mengakses pekerjaan berkualiti tinggi dan memupuk industri yang berdaya saing, seterusnya membantu Malaysia mencapai aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi.” “Khazanah berhasrat untuk mencipta saluran bakat yang mampan melalui inisiatif peningkatan kemahiran dan pemantapan semula, sebagai respons kepada percepatan pesat inovasi teknologi. Khazanah komited untuk memajukan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memastikan ketersediaan bakat terampil yang bersedia untuk menyahut cabaran masa hadapan dan memberi sumbangan positif kepada matlamat pembangunan Malaysia. Feisal, yang juga seorang Pemegang Amanah dalam Khazanah Research Institute (“KRI”) sejak 2021, turut menyatakan bahawa penyelidikan oleh institut tersebut mendapati Malaysia menghadapi kekurangan bakat berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan pesat industri berteknologi tinggi. KRI melaporkan bahawa banyak graduan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kini bekerja dalam bidang yang tidak berkaitan disebabkan oleh kekurangan permintaan untuk pekerja mahir dalam sektor yang berkaitan, ditambah dengan penurunan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Selain itu, sektor elektrik dan elektronik (E&E) menunjukkan kelewatan yang ketara dalam penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi walaupun mengalami kekurangan bakat. Oleh yang demikian, Khazanah telah memperuntukkan RM200 juta kepada Khazanah Youth Development Programme (“K-Youth”) tahun ini untuk melatih dan membangunkan 11,000 belia Malaysia dalam sektor utama, termasuk semikonduktor, yang mensasarkan jurang bakat kritikal dalam bidang seperti reka bentuk cip dan pembuatan termaju. Inisiatif ini selaras dengan komitmen Khazanah untuk memajukan sektor semikonduktor negara sebagai sebahagian daripada Strategi Semikonduktor Nasional, yang bertujuan untuk meningkatkan ekosistem tempatan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin global dalam industri semikonduktor.

K-Youth: Lebih daripada 8,000 belia telah ditingkatkan kemahiran, dengan 83% mendapat pekerjaan. Tambahan RM200 juta pada 2025 untuk memberi manfaat kepada 11,000 belia

Komitmen untuk memupuk bakat ini dicerminkan melalui pelancaran K-Youth pada tahun 2023 sebagai kesinambungan inisiatif peningkatan dan pemberdayaan sebelum ini, bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran yang penting bagi pasaran pekerjaan hari ini dan melahirkan para graduan yang profesional dan sedia untuk industri. Pada tahun pertama pelancarannya, K-Youth menarik minat 8,381 peserta (82% daripada kumpulan B40), di mana 83% daripada peserta ini berjaya mendapatkan pekerjaan dalam industri utama yang disasarkan oleh program tersebut di Malaysia. Program ini secara strategik menyasarkan kepada penutupan jurang dengan memanfaatkan TVET dengan tumpuan kepada tiga laluan. Laluan pertama memberi tumpuan kepada industri utama seperti Hospitaliti & Perkhidmatan, Jentera & Peralatan, dan Digital & Teknologi. Laluan kedua menawarkan sokongan selama dua tahun untuk pelajar sebelum tahun akhir dan pelajar tahun akhir, menyelaraskan kemahiran mereka dengan keperluan pasaran. Laluan ketiga menyediakan program peningkatan kemahiran untuk pusat kerjaya dan akademik di seluruh negara, bagi memastikan sektor-sektor dipadankan dengan bakat yang sesuai sambil meningkatkan kebolehpasaran belia dari institusi pembelajaran yang dikenalpasti. Nurul Amanina Binti Naushad, seorang peserta K-Youth yang berkolaborasi dengan Dattel dan berasal dari Pulau Pinang, berkata, “Apa yang membezakan K-Youth adalah pengalaman praktikal yang ditawarkannya. Berbeza dengan program lain yang lebih kepada teori, K-Youth memberikan peluang untuk bekerja dengan pelanggan sebenar untuk mempromosikan perniagaan mereka menggunakan kemahiran yang saya pelajari. Pengalaman dalam projek sebenar adalah penting, kerana ia membolehkan anda mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam suasana praktikal. Latihan mendalam seperti ini bukan sahaja membina kemahiran tetapi juga membuat anda merasa lebih bersedia untuk peranan pekerjaan sebenar dalam industri.” Pemupukan yang betul adalah penting untuk penerapan kemahiran yang berkesan. Inisiatif jangka sederhana hingga panjang melalui program ini mempersiapkan individu muda dengan lebih awal untuk menghadapi dunia pekerjaan. Para peserta memperoleh pengalaman praktikal melalui bengkel, seminar rangkaian, latihan industri dan penempatan kerja sambil mendapatkan sijil teknikal yang relevan. Ini memastikan mereka sedia untuk menyertai kumpulan tenaga kerja dan memiliki kemahiran praktikal yang memenuhi permintaan pasaran. Deepanraj Ravi Chandran dari Selangor, seorang peserta program pembangunan K-Youth yang berkolaborasi dengan TalentLabs, berkata, “Pengalaman saya dengan TalentLabs dalam program K-Youth adalah luar biasa. Persekitaran sokongan program ini membantu saya membina kemahiran teknikal dan keyakinan melalui latihan praktikal dan projek dunia nyata. Mentorship dan maklum balas adalah tidak ternilai dalam perkembangan saya, dan peluang membina rangkaian menghubungkan saya dengan para profesional dan rakan sebaya, yang akhirnya membantu saya mendapatkan peranan sepenuh masa sebagai pembina tindanan penuh (full-stack developer).”

Dana Impak dan 42 Malaysia (“42MY”): Menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara dengan melatih 10,000 profesional teknologi berkemahiran menjelang 2030.

Melalui inisiatif Dana Impak, komitmen Khazanah untuk memupuk bakat dan menyediakan Malaysia untuk masa hadapan merangkumi kerjasama dengan Sunway Education Group (SEG) dalam menubuhkan 42 Malaysia (“42MY”) pada tahun 2023, sebagai sebahagian daripada rangkaian global sekolah pengkodan 42. Rangkaian 42 mempunyai lebih 50 kampus di lebih 30 negara dan boleh diakses oleh individu berumur 18 tahun ke atas dari semua latar belakang pendidikan dan sosio-ekonomi, disebabkan model pembelajaran yang tidak dikenakan yuran. Model pembelajaran rakan sebaya yang inovatif ini menggalakkan kerjasama dan penyelesaian masalah, dengan kurikulum yang memfokuskan kepada pemikiran kritis, penyesuaian dan pengalaman praktikal. 42 Malaysia (“42MY”) kini mengoperasikan kampus di Kuala Lumpur (“42KL”), Iskandar Puteri (“42 Iskandar Puteri”), dan Pulau Pinang (“42 Penang”), dengan pelan pengembangan akan datang di Kuching dan Miri di Sarawak serta Kota Kinabalu di Sabah. Dengan memupuk dan membangunkan bakat Malaysia, hasrat 42MY adalah untuk memperkukuh ekosistem pemula dan teknologi domestik, menyokong agenda ekonomi digital negara dan meningkatkan keupayaan dalam Industri 4.0 (“IR4.0”). Ng Jun Han, seorang peserta dari 42KL berkata, “Untuk mengatakan bahawa 42KL hanyalah satu lagi ‘bootcamp’ pengekodan atau sekolah pengekodan adalah kurang tepat. Persekitaran di sini menghargai mereka yang skeptikal, berani untuk gagal dalam projek dan mencuba lagi. Inovasi memerlukan penghapusan laluan yang salah, dan melalui kegagalan, laluan yang salah dapat dikenalpasti. Itulah yang telah membentuk kepercayaan saya di 42KL. Sebelum menyertainya, saya mempunyai jangkaan rendah dan hanya berharap untuk mendapatkan pekerjaan. Bukan sahaja saya mendapatkan apa yang saya inginkan sejak awal, tetapi saya juga amat tertarik dengan pengekodan dan pembelajaran secara umum.” Kini seorang jurutera perisian, Jun Han berada di landasan untuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang memperoleh kelayakan Répertoire National des Certifications Professionnelles (“RNCP”) 6, setaraf dengan ijazah sarjana muda Eropah di bawah Rangka Kerja Kelayakan Eropah (“EQF”). Adya Zahila Hasman binti Aidi Hasman, seorang lagi peserta 42KL dan penerima geran Yayasan Hasanah berkata, “Kurikulum ini direka untuk memberikan anda pendedahan praktikal kepada kemahiran teknologi penting dari pelbagai bidang industri teknologi. Program ini disusun untuk memastikan bahawa pada waktu kami menamatkan pembelajaran, kami dilengkapi dengan kemahiran dan sedia untuk bekerja. Perkara yang terbaik tentang 42 Malaysia ialah ia percuma sepenuhnya, yang memudahkan saya untuk terlibat dalam pendidikan teknologi dan fokus sepenuhnya pada pembelajaran.”

Pembangunan Modal Insan sebagai Pemangkin Penting bagi Kemajuan Negara

Program K-Youth Khazanah dan inisiatif 42 Malaysia berfungsi sebagai pemangkin penting dalam memajukan negara dengan melabur dalam modal insan, memupuk pertumbuhan dalam industri strategik dan memperkuat prospek ekonomi jangka panjang Malaysia, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Dasar TVET Negara 2030. Inisiatif ini juga seiring dengan strategi Khazanah iaitu Memajukan Malaysia yang berlandaskan rangka kerja *A Nation That Creates, yang bertujuan untuk meningkatkan produktiviti nasional, inovasi dan daya saing. Salah satu tonggak utama kerangka ini adalah pembangunan komuniti, yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran dan Latihan semula secara meluas dengan objektif membina kapasiti dan keupayaan. *Rangka kerja ‘A Nation That Creates’ Khazanah bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara dengan memberi tumpuan kepada transformasi syarikat untuk membuka kunci nilai, menyokong usaha peralihan tenaga dan digitalisasi, membangun kapasiti serta meningkatkan kemahiran. Ia juga bertujuan untuk mempertingkatkan kesalinghubungan Malaysia melalui portfolio penerbangan. Selain itu, Khazanah komited untuk memastikan daya tahan ekosistem semikonduktor, memupuk pertumbuhan syarikat peringkat pertengahan (mid-tier company), dan melabur dalam modal teroka, menyokong aspirasi program GEAR-uP yang diterajui oleh Kementerian Kewangan, dalam menyelaraskan usaha di kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan mendorong pertumbuhan dalam sektor-sektor ekonomi utama.

***TAMAT***



Siaran Akhbar Lain
10 Januari 2025

Strategi Khazanah Untuk Memajukan Malaysia: Memban...

Selanjutnya  

27 Disember 2024

Memajukan Rantaian Nilai Semikonduktor dan Pengelu...

Selanjutnya  

1 November 2024

Khazanah Nasional perjelas penjualan saham Fashion...

Selanjutnya  

28 Oktober 2024

Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah ...

Selanjutnya  

19 Oktober 2024

Kenyataan oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir...

Selanjutnya  

17 Oktober 2024

SC dan Khazanah Jalin MoU untuk Memangkin Akses MT...

Selanjutnya  

15 Oktober 2024

Khazanah Nasional, melalui Dana Impak, bakal lanca...

Selanjutnya  

30 Julai 2024

Khazanah Nasional selesaikan pengambilalihan MAVCA...

Selanjutnya  

15 Mei 2024

Konsortium diterajui Khazanah dan KWSP umum tawara...

Selanjutnya  

11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya