10 September 2021
Khazanah raih RM664.5 juta hasil penempatan saham CIMB Group
Hasil akan digunakan untuk pelaburan baharu, termasuk pelaburan bawah Dana Impak
Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) ingin mengumumkan bahawa ia telah berjaya memuktamadkan penempatan 138.4 juta saham (kira-kira 1.4%) dalam CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB”) pada harga RM4.80 sesaham, sekali gus meraih kira-kira RM664.5 juta. Harga penempatan mewakili 2.8% diskaun pada harga penutup pasaran RM4.94 yang dicatatkan pada 8 September 2021.
Urus niaga penempatan saham tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan Khazanah untuk mengimbangi semula portfolionya serta mengitar semula pelaburannya ke dalam aset baharu di Malaysia dan di peringkat global, termasuk pelaburan baharu bawah Dana Impak. Sejajar dengan objektif inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (“PERKUKUH”) yang digariskan oleh Kerajaan, Dana Impak bertujuan untuk memangkin bidang pertumbuhan baharu, membangun daya saing ekonomi Malaysia serta meningkatkan daya tahan sambil memacu hasil sosio-ekonomi utama negara.
Lanjutan daripada penempatan tersebut, Khazanah masih kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam CIMB dengan pegangan 25.6%. Penempatan itu menyaksikan saham-saham tersebut diagihakan kepada beberapa dana berkaitan Kerajaan, pelabur institusi jangka panjang domestik dan asing, pemegang saham sedia ada serta beberapa dana lain.
CIMB dan Credit Suisse merupakan pengatur bersama urus niaga penempatan saham tersebut.
TAMAT