27 April 2023
Khazanah diberi penarafan A3/A- oleh Agensi Penarafan Kredit Antarabangsa Moody’s dan S&P
Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) telah diberikan penarafan kredit penerbit pertamanya iaitu A3 dan A-, masing-masing daripada Moody’s Investors Service dan S&P Global Ratings. Penarafan kredit gred pelaburan itu mengesahkan keupayaan Khazanah yang kukuh dalam memenuhi komitmen kewangannya, rekod prestasi pelaburan dan dasar pendanaan yang baik dan pembiayaan yang kukuh serta peranan penting dalam mengembangkan kekayaan jangka panjang Malaysia.
Sejak 2004, Khazanah telah menjadi penerbit tetap dalam pasaran modal global dan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab terkemuka bagi Kewangan Islam melalui urus niaga yang menjadi mercu tanda termasuk Sukuk boleh tukar (exchangeable Sukuk) pertama dunia dan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab pertama negara. Memandangkan Khazanah tidak menerima kemasukan modal biasa, ia bergantung pada keupayaannya untuk menjana pulangan dan memanfaatkan pasaran modal untuk membiayai pelaburannya.
Secara kebiasaannya, Khazanah menikmati akses kepada pasaran modal, malah berjaya menetapkan harga sukuk tidak dinilai taraf semasa kemuncak pandemik Covid-19. Permintaan pelabur yang kukuh meskipun aliran pasaran yang menurun mencerminkan keyakinan terhadap kredit Khazanah dan keupayaannya untuk menyampaikan mandatnya sebagai dana kekayaan negara Malaysia. Penarafan kredit antarabangsa ini akan meningkatkan lagi daya tarikan Khazanah sebagai penerbit dan mengembangkan pangkalan pelabur globalnya.
Berdasarkan analisis Moody’s dan S&P, penarafan A3/A- Khazanah disokong oleh hubungan kukuhnya dengan Kerajaan Malaysia, kepentingan Khazanah dalam aset-aset strategik Malaysia merentas sektor-sektor utama, dan peranannya dalam menyokong dan melaksanakan objektif sosioekonomi kerajaan. Moody’s juga menyatakan keupayaan Khazanah untuk memanfaatkan pendanaan luaran, rekod prestasi dalam amalan dan dasar kewangan konservatif, dan komitmen untuk beroperasi dalam tahap keumpilan yang disasarkan yang dinyatakan secara umum.
Kekuatan kredit ‘standalone’ Khazanah disederhanakan oleh penumpuan geografi tinggi portfolionya di Malaysia dan pendedahan kepada turun naik pasaran yang menyebabkan turun naik dalam nilai portfolionya, sepertimana dihadapi dana kekayaan berdaulat negara lain di seluruh dunia. Khazanah dijangka terus mengimbangi semula portfolionya untuk mempelbagaikan pelaburannya dan mengurangkan risiko penumpuan.
Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Kami gembira dengan penarafan tersebut kerana ia mempamerkan kekuatan dan ketahanan kewangan kami. Tumpuan kami kekal terhadap pengimbangan semula portfolio dan penciptaan nilai untuk Malaysia. Melengkapkan peralihan portfolio dan mengurangkan hutang secara sistematik adalah penting untuk mengukuhkan penyata imbangan Khazanah yang membolehkan kami memenuhi mandat untuk Memajukan Malaysia”.
TAMAT