13 Julai 2015
Hari Terbuka GLC bakal diadakan pada 7 hingga 9 Ogos 2015
Hari Terbuka GLC 2015 akan diadakan pada 7 hingga 9 Ogos 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Bertemakan “Meningkat Kecemerlangan: Membina Negara, Memupuk Insan”, Hari Terbuka GLC 2015 bakal mempamerkan bagaimana Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah berkembang maju dan menyumbang ke arah pembangunan negara dan memanfaatkan kehidupan rakyat Malaysia.
Hari Terbuka GLC 2015, suatu inisiatif Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG), akan menyaksikan penyertaan lima buah GLIC dan 17 buah GLC, yang lebih dikenali sebagai G20, di bawah Program Transformasi GLC (Program GLCT).
Program GLCT berjangka masa 10 tahun yang telah dilancarkan pada tahun 2005 akan tiba ke penghujungnya pada 2015. Suatu majlis „pentauliahan‟ akan diadakan pada 7 Ogos, selari dengan berakhirnya program tersebut. Perdana Menteri, YAB Dato‟ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah tetamu kehormat pada majlis tersebut.
Program GLCT telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 29 Julai 2005 dalam usaha untuk mengubah GLC kepada entiti berprestasi tinggi.
Selain daripada 22 syarikat yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut mempromosikan produk dan perkhidmatan di gerai masing-masing, Hari Terbuka GLC 2015 akan turut menampilkan lima kluster yang antara lainnya mengetengahkan kisah perjalanan serta pencapaian Program GLCT serta produk yang ditawarkan oleh GLC pada masa depan.
Aktiviti-aktiviti lain yang dirancang sepanjang acara tiga hari tersebut termasuk forum, pertandingan, aktiviti kanak-kanak serta cabutan bertuah yang bertujuan untuk memaksimumkan penyertaan awam.
Ini adalah kali kedua PCG menganjurkan hari terbuka untuk orang ramai. Pada tahun 2011, semasa Program GLCT tiba di pertengahan perjalanan, Hari Terbuka GLC 2011 telah menarik kira-kira 25,000 orang pengunjung ke acara tersebut. Berdasarkan maklum balas yang positif yang diterima daripada orang ramai, sekretariat PCG telah memutuskan untuk manganjurkan satu lagi hari terbuka pada tahun ini. Kira-kira 40,000 orang pengunjung disasarkan untuk berkunjung ke Hari Terbuka GLC 2015.
Sebuah laman web mikro, www.glcopenday.com.my, akan dilancarkan tidak lama lagi yang mana orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan informasi terkini tentang Hari Terbuka GLC 2015.