Media & Muat Turun
Siaran Akhbar

8 Ogos 2014

Khazanah Rancang Nyahsenarai Malaysian Airline System Berhad

Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) pada hari ini telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Lembaga Pengarah Malaysian Airline System Berhad (“MAS”) untuk melaksanakan langkah pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilih (“SCR yang dicadangkan”) bagi saham-saham biasa MAS. Cadangan tersebut akan membolehkan pemegang saham biasa minoriti MAS menerima pembayaran balik modal bernilai RM0.27 bagi setiap saham biasa. Jumlah ini merupakan premium 12.5% atas harga tutup saham MAS pada 7 Ogos 2014 dan premium 29.2% atas harga pasaran purata wajaran (“VWAMP”) bagi tempoh tiga bulan. Apabila muktamadnya SCR yang dicadangkan kelak, Khazanah akan muncul sebagai pemegang tunggal saham biasa MAS yang seterusnya akan membawa kepada penyahsenaraian MAS.

Pada Jun 2014, Khazanah telah mengumumkan bahawa ia, menerusi rundingan dengan Pemegang Saham Khasnya, Kementerian Kewangan Diperbadankan, sedang dalam proses melaksanakan kajian semula komprehensif ke atas MAS. Khazanah seterusnya menjelaskan bahawa, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa yang berkaitan, ia akan mengumumkan skim penyusunan semula yang dicadangkan dalam tempoh enam hingga 12 bulan. Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa penyusunan semula yang dicadangkan memerlukan semua pihak bekerjasama untuk melaksanakan pembaik pulihan menyeluruh atas syarikat penerbangan nasional berkenaan, yang antara lainnya termasuk aspek operasi syarikat, model perniagaan, kewangan, modal insan serta persekitaran kawal selia. Semestinya segala usaha diperlukan bagi memastikan syarikat penerbangan negara ini akan kembali mencatatkan keuntungan sebagai salah sebuah entiti komersial serta berperanan sebagai entiti pembangunan nasional yang kritikal.

Sehubungan itu, cadangan penyahsenaraian ini merupakan peringkat pertama skim penyusunan semula MAS. Selain itu juga, Khazanah kini berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan cadangan penyusunan semula tersebut secara keseluruhannya. Setelah proses dan kelulusan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa dan pengawal selia termasuk Pemegang Saham Khasnya, Kementerian Kewangan Diperbadankan diterima, kami menjangkakan pelan tambahan yang lengkap akan diumumkan pada penghujung bulan ini.

TAMAT



Siaran Akhbar Lain
10 Januari 2025

Strategi Khazanah Untuk Memajukan Malaysia: Memban...

Selanjutnya  

27 Disember 2024

Memajukan Rantaian Nilai Semikonduktor dan Pengelu...

Selanjutnya  

1 November 2024

Khazanah Nasional perjelas penjualan saham Fashion...

Selanjutnya  

28 Oktober 2024

Khazanah lancar Jelawang Capital sebagai sebuah ...

Selanjutnya  

19 Oktober 2024

Kenyataan oleh Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir...

Selanjutnya  

17 Oktober 2024

SC dan Khazanah Jalin MoU untuk Memangkin Akses MT...

Selanjutnya  

15 Oktober 2024

Khazanah Nasional, melalui Dana Impak, bakal lanca...

Selanjutnya  

30 Julai 2024

Khazanah Nasional selesaikan pengambilalihan MAVCA...

Selanjutnya  

15 Mei 2024

Konsortium diterajui Khazanah dan KWSP umum tawara...

Selanjutnya  

11 Mac 2024

Khazanah catat keuntungan RM5.9 bilion bagi 2023, ...

Selanjutnya